Friday, 31 August 2012

GURU PONTENG SEBULAN BOLEH DIBERHENTIKAN


1.0  Pengenalan

Umum telah mengetahui bahawa sekolah adalah sebuah tempat untuk mengajar dan belajar, tempat untuk memberi dan menerima pendidikan formal. Sekolah dianggap sebagai pusat menimba ilmu khusus kepada kanak-kanak, bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengahdan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Bagi setiap kategori tersebut dikenali dengan nama-nama yang berlainan. Pra Sekolah bagi kanak-kanak yang berusia 5 dan 6 tahun. Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah bagi peringkat usia 7 hingga 12 tahun. Sekolah Menengah bagi peringkat usia 13hingga 19 tahun.  
Mengikut kamus Oxford (1969) menyatakan bahawa sekolah merupakan institusi untuk memberi pendidikan kepada para pelajar. Ia berlaku di mana ada masa dan ruang yang ditetapkan untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran. Interaksi sosial pelajar dalam sistem pendidikan formal di sekolah berlaku dalam bilik darjah dan aktiviti ko-kurikulum. Bilik darjah merupakan unit interaksi sosial yang paling berpengaruh di sekolah (Syarifah Alawiah Al-Sagoff, 1988). Ini adalah kerana guru-guru berinteraksi dengan pelajar secara individu hampir setiap hari. Dalam keadaan persekolahan sekarang ini, kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran mencorakkan tingkah laku dan perbendaharaan kata pelajar (Syarifah Alawiah Al-Sagoff, 1988).
Sekolah memberikan pendidikan dan menghasilkan perubahan ke atas diri seseorang pelajar itu. Pendidikan yang didapati di sekolah merupakan proses dan aktiviti yang bertujuan untuk membawa perubahan kepada seseorang individu. Menurut Dewey, pendidikan harus berpusatkan kepada pelajar sebagai individu untuk melengkapkan dirinya dengan ciri-ciri insan yang sempurna pada keseluruhannya. Oleh itu, sekolah bukan merupakan institusi setakat untuk menyediakan individu itu bagi sesuatu latihan dan memperolehi pekerjaan tetapi membuat persediaan untuk mereka membangunkan masyarakat





2.0  Isu Guru atau Keguruan

Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja


Mungkin setiap guru yang tidak hadir ke sekolah ada alasan yang tersendiri. Sakit? Ada masalah keluarga? Berjauhan dari keluarga? Masalah kewangan? Stress? 1001 alasan.. tetapi kadangkala suara dan kebajikan guru kurang diberi perhatian oleh pihak pengurusan. Inilah kesannya.. Apabila sudah ada laporan rasmi, maka tindakan yang sewajarnya perlu diambil.

MARILAH SAMA-SAMA KITA MENJAGA PROFESION KEGURUAN INI...

"Guru Cemerlang, Negara Terbilang"...


2.1  Definisi dan Jenis Ponteng

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Manakala ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan apabila seseorang pekerja itu tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugassampingan seperti hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri.
Ponteng boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada murid dan sekolah.

a.    Ponteng sekolah
Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengansebab yang tidak munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering diguna oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah dengan pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik.

b.    Ponteng kelas
Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas dengan sengaja atau keluar lebih awal sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual atau bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dansebagainya. Guru bermasalah ini menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan lebih penting berbanding mengajar di dalam bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang amat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.

c.    Ponteng tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya guru tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak menghadirikan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut.








2.2  Faktor Berlakunya Ponteng

Dalam mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti yang memungkinkan guru-guru mengambil jalan mudah untuk ponteng. Hal ini merangkumi aspek dalaman dan luaran yang mana masing-masing memberi impak kepada pembangunan sahsiah seorang guru.

2.2.1     Faktor Dalaman

2.2.1.1        Kurangannya Pegangan Agama
Guru tidak menghayati apa yang diajarkan dalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya berkerja dengan ikhlas, amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan ramai di antara guru yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh, tidak amanah. Walaupun ramai di antaranya yang berpuasa dan menunaikan solat tetapi perbuatan seperti ponteng tetap berlaku dalam pekerjaan (Pahrol Mohamad Juoi,2010). Guru menganggap ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait dengan pahala dan dosa. Walhal guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu sumber yang halal untuk dinikmati oleh anak-anak dan ahli keluarga.

2.2.1.2        Kurang motivasi dari dalaman guru.
Guru terbeban dengan hal-hal persekitaran yana mungkin menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa kurang motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur komitmen dalaman (Pendidik, September 2010).

2.2.1.3        Gangguan emosi.
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan yang melampau boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh badan dan pemikiran. Selain itu juga kemurungan boleh menyebabkan seseorang bertindak mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat (Pendidik, April2010). Gangguan emosi ini terhasil apabila guru-guru tidak mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap keputusan markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah berulang kali keputusan yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan merasa kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerjaguru yang lain. Penambahan masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas,dan ponteng kerja.

2.2.1.4        Sifat yang tidak ikhlas
Ikhlas selalunya dikaitkan dengan bersedekah, jarang-jarang sekali ikhlas dikaitkan dengankerja atau profesion, jika ada ianya hanya disebut sepintas lalu. Ini adalah satu persoalan yang penting kerana apabila kerja dianggap sebagai satu ibadah, maka inti pati atau terasnya mestilah sifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang membuahkan nilai-nilai yang lain.Ikhlaslah melahirkan integriti, produktiviti dan kualiti juga lain-lain nilai murni dalam pekerjaan. Ikhlas adalah pemantau dalaman yang menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus dan benar sebelum, semasa dan selepas sesuatu pekerjaan dilakukan (Pahrol Mohamad Juoi,2010). Jika seseorang guru tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaan utama di sekolah dan yang paling penting kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

2.2.2     Faktor Luaran

2.2.2.1        Tekanan beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar,menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman mereka. Seorang guru di Sarawak juga menyuarakan tentang suasana kerjanya di salah sebuah sekolah membuktikan bahawa dalam era pemodenan pendidikan ini masih terdapat suasana tidak selesa pada tempat kerja guru. Apa yang digambarkan adalah, isu kepadatan guru dalam bilik guru, masalah kongsi meja dan penyediaan perabut yang tidak sesuai sertamen cukupi. (Berita Harian, 19 Julai 2005). Hal ini menyebabkan guru bertindak ponteng daripada membebankan emosi dan perasaan mereka dengan tekanan.

2.2.2.2        Murid yang tidak menghormati guru
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan menghormati perasaaan guru. Sambutan Hari Guru saban tahun semakin hambar dan tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid. Tiada lagi ucapan penghargaan kepada guru yang diterima oleh murid. Mereka leka dengan aktiviti persekitaran tanpa menghargai perasaan guru yang selama ini mencurahkan khidmat bakti menjadikan mereka modal insan yang akan menentukan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Murid tidak lagi menjadikan guru sebagai role model mereka tetapi lebih memilih artis-artis barat dan tempatan sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid yang di luar jangkaan seperti memancitkan dan menconteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan dan melanggar disiplin

2.2.2.3        Kurang galakan dan pemantauan dari pentadbir
Faktor ini juga amat penting dalam menjadikan pekerjaan guru sebagai satu profesion yang berjaya. Pentadbir yang perihatin selalu mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir juga perlu mengambil tindakan serta merta kepada guru yang sering ponteng. Ini kerana ditakuti gejala ini akan diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya Guru Besar tidak mengambil tindakan kepada guruyang melakukan kesalahan.

2.2.2.4        Jarak sekolah dan keadaan persekitaraan
Keadaan ini biasanya merujuk kepada di mana guru itu mengajar. Bagi guru yang mengajar di luar bandar, dan di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal dari masayang ditetapkan untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini telah disahkan apabila Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain pula halnya apabila guru tersebut mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar pada sesi persekolahanuntuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan berjalan. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat dan tidak ada kelas dalam jadual. Namun guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai ponteng kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan berjalan demi untuk memenuhi keperluan peribadi.


2.2.2.5        Pengaruh rakan-rakan sejawat
Pengaruh rakan sejawat dan rakan sekeliling juga mempengaruhi isu ponteng guru. Ini kerana guru baru contohnya akan mudah terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas, membuat kerja sambil lewa dan sering ponteng. Besar kemungkinan ponteng telah menjadi kebiasaan kepada guru-guru di sekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah negatif guru lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu ponteng ini dengan tegas.

2.2.2.6        Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah ponteng dalam kalangan guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah,manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mereka akan lebih mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain, contohnya kewangan, ponteng kerja, masalah keluarga, tindakan undang-undang dan sebagainya.




2.3  Langkah Mengatasi Masalah Ponteng

Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah ponteng ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Ini bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan merekadi sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagimengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari. Langkah perbincangan ini bersesuaian dengan teori kepimpinan humanistik di mana guru tersebut diberikan ruang kebebasan untuk menceritakan masalah sebenar yang berlaku dan punca masalah ini berlaku. Di samping pihak pentadbir juga boleh mendekatkan diri lagi kepada guru yang bermasalah ponteng kerja ini supaya hubungan lebih akrab dan harmonis di mana persetujuan dan pemuafakatan lebih mudah dicapai oleh kedua- dua pihak.  Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran kepada guru tersebut. Surat tunjuk sebab ini menunjukkan bahawa pihak  pentadbir amat memandang berat akan isu ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan kembali bertugas setelah mendapat surat tersebut. Namun demikin jika perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk guru bermasalahtersebut kepada lembaga tatatertib selaras dengan Peraturan 25(1) yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 Bahagian III.
Selain itu, fenomena ponteng dalam kalangan guru juga boleh diatasi dengan cara aplikasi teori kepimpinan transformasi. Pemimpin transformasi adalah seorang yang suka melakukan perubahan dan pembaharuan. Ini jelas melalui visi dan misi yang dibentuknya. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin, mereka harus mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan visi dan misi sehingga difahami, diterima dan dihayati oleh semua pengikutnya. Seorang pemimpin transformasi juga adalah seorang yang mempunyai kasih sayang dan dapat memahami subordinatnya. Beliau mesti sentiasa peka dengan kehendak dan keperluan mereka yang sentiasa berubah. Oleh itu, pentadbir bijak mengendalikan keperluan persekitarannya iaitu budaya sekolah agar semua mereka yang terlibat di bawah organisasinya berasa puas dan selamat serta mendorong melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Pemimpin transformasi juga adalah orang yang sanggup menerima pandangan orang lain jika pandangan tersebut boleh mendatangkan manfaat kepada semua ahli dalam organisasi. Dengan cara ini, masalah ini yang berfaktor dalaman guru seperti kurang motivasi dan gangguan emosi boleh diatasi dengan jayanya.
Setiap individu mempunyai keperluan, kehendak, harapan dan impian masing-masing. Walaubagaimanapun, seringkali pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pengalaman, konflik dan situasi yang dialami. Oleh sebab itu, segelintir guru yang mempunyai masalah, mereka mengambil jalan mudah untuk melarikan diri mereka dari masalah. Sebagai pentadbir, bersesuaian dengan teori kepimpinan behavioristik, pentadbir perlulah wujudkan persekitaran di sekolah yang lebih mesra, harmoni, toleransi, menyayangi antara satu sama lain (sebagai rakan sejawat). Dengan cara ini mereka yang bermasalah akan selesa hadir ke sekolah kerana di sekolah masih ada lagi rakan yang menghargai mereka seterusnya mereka boleh menceritakan dan meluahkan masalah yang masih menjadi igauan dalam diri dan tidak akan menjadikan alasan bahawa ponteng kerja merupakan jalan penyelesaiannya. Kebebasan merancang dan mencorakkan kerja mengikut acuan sendiri menjadi idaman setiap individu. Namun begitu dalam pengurusan sesebuah sekolah kebebasan memilih kadang-kadang tidak dapat dipraktikkan. Contohnya, pihak sekolah dibebani dengan pelbagai program daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang perlu dilaksanakan secara serentak. Guru pula sebagai pelaksana dibebani dengan pelbagai jawatan sampingan selain daripada mengajar di dalam bilik kelas.Pihak pentadbir biasanya akan memilih guru yang bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu program dan mencapai objektif yang disasarkan. Bebanan ini akan lebih dirasai olehguru-guru sekolah yang kekurangan guru. Oleh kerana itu, sebagai pentadbir mestilah memberikan peluang dan pilihan untuk guru- guru membuat kebebasan dengan tugasan yang diberikan tetapi mestilah tidak melanggar etika keguruan dan peraturan sekolah. Ini mengurangkan lagi stress dan tekanan kerja guru serta permasalahan ponteng kerja boleh dibendung. Selain itu, sebagai pentadbir mestilah mengadakan latihan dalam perkhidmatan bagi memantapkan lagi sahsiah dan hasil kerja guru tersebut. Tambahan pula, di dalam latihan ini terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan lagi kredibiliti seorang guru yang syumul. Pentadbir perlu mewajibkan kesemua guru di sekolah menghadirinya bagi kepentingan sekolah dan diri guru tersebut. Bersesuaian dengan perubahan tingkah laku guru dari kurang baik kepada lebih baik dan seterusnya mengaplikasikan falsafah pendidikan kebangsaan dengan jayanya.













3.0  Rumusan

Dapatlah dirumuskan bahawa, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi semua pihak sama ada murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan yang tegas dan pantas daripada pihak pentadbir akan dapat menyelesaikan masalah ini. Namun sering kali pihak pentadbir terlewat mengambil tindakan yang menyebabkan masalah ponteng ini berlarutan. Oleh yang demikian perlu ada pemantauan yang berterusan daripada pentadbir dan pihak jabatan untuk memastikan masalah ponteng di kalangan guru dapat dibendung

  
4.0  Refleksi

Setelah selesai tugasan dilakukan, saya merasakan bahawa tugasan ini mampu menjadi satu penyelesaian masalah kepada sebarang perkara yang timbul dalam isu guru. Apabila berlakunya sesuatu masalah, maka sebagai guru kita haruslah mempunyai satu cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ini termasuklah isu yang dipilih iaitu isu guru ponteng. Apa yang penting ialah bagaimana pentadbir mampu untuk menyelesaikan masalah ponteng dalam kalangan guru. Selain itu, dalam hal kehidupan seharian kita sebagai seorang guru juga, ianya mampu menjadi satu panduan dan petunjuk supaya setiap masalah itu pastu ada cara untuk menyelesaikannya.
Sepanjang menyelesaikan tugasan ini juga, ianya memberi cabaran kerana terlalu banyak tekanan kerja yang dialami. Namun begitu, ianya adalah sebagai salah satu permulaan dalam kehidupan yang mana lebih mencabar untuk masa akan datang. Setiap kerja yang dilakukan pasti ada cabaran yang datang. Begitu juga halnya dengan diri sebagai seorang guru iaitu cabaran dari segi fizikal dan mental pasti menjelma. Tetapi, di sebalik rintangan dan cabaran yang direntasi pasti ada kejayaannya. Kejaayaan tidak akan datang bergolek dan tidak akan datang mengikut perancangan.   
Selain itu, pelbagai kemahiran baharu yang diperoleh sepanjang menyiapkan tugasan ini. Ini termasuklah kemahiran dari segi pengurusan dan etika untuk menjadi seorang guru kelak. Walaupun kemahiran ini belum diaplikasikan dalam kehidupan sebagai guru, namun pengetahuan yang diperoleh ini akan digunakan apabila mula bergelar guru kelak. Ini sekaligus akan menjadikan saya sebagai seorang guru yang mempunyai akauntabiliti yang tinggi dan mampu bertindak profesionalisme. Apa yang penting ialah, bagaimana sesuatu pengetahuan itu diselarikan dengan kemahiran supaya dapat menjadi seorang guru yang beretika tinggi.
Tugasan ini dapat dikaitkan dengan rancangan masa hadapan saya dengan cara bagaimana sekiranya masalah seperti isu ini atau isu-isu lain melanda dan dialami oleh saya apabila bergelar guru kelak. Oleh itu, saya perlu mengekalkan kredibiliti saya sebagai seorang guru supaya saya dapat menjadi seorang guru yang tidak mempunyai sebarang masalah disiplin apatah lagi melanggar etika profesion keguruan ini. Saya seharusnya mempersiapkan diri dengan segala cabaran yang akan datang supaya mampu menjadi guru yang bagus.



ANIS FARAHIN BINTI ABD AZIZ



No comments:

Post a Comment