1.0 Pengenalan
Umum telah mengetahui bahawa
sekolah adalah sebuah tempat untuk mengajar dan belajar, tempat untuk memberi
dan menerima pendidikan formal. Sekolah dianggap sebagai pusat menimba ilmu
khusus kepada kanak-kanak, bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah,
sekolah menengahdan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Bagi setiap
kategori tersebut dikenali dengan nama-nama yang berlainan. Pra Sekolah bagi
kanak-kanak yang berusia 5 dan 6 tahun. Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah
bagi peringkat usia 7 hingga 12 tahun. Sekolah Menengah bagi peringkat usia
13hingga 19 tahun.
Mengikut kamus Oxford (1969)
menyatakan bahawa sekolah merupakan institusi untuk memberi pendidikan kepada
para pelajar. Ia berlaku di mana ada masa dan ruang yang ditetapkan untuk
melakukan pengajaran dan pembelajaran. Interaksi sosial pelajar dalam sistem
pendidikan formal di sekolah berlaku dalam bilik darjah dan aktiviti
ko-kurikulum. Bilik darjah merupakan unit interaksi sosial yang paling
berpengaruh di sekolah (Syarifah Alawiah Al-Sagoff, 1988). Ini adalah kerana
guru-guru berinteraksi dengan pelajar secara individu hampir setiap hari. Dalam
keadaan persekolahan sekarang ini, kebanyakan proses pengajaran dan
pembelajaran mencorakkan tingkah laku dan perbendaharaan kata pelajar (Syarifah
Alawiah Al-Sagoff, 1988).
Sekolah memberikan
pendidikan dan menghasilkan perubahan ke atas diri seseorang pelajar itu.
Pendidikan yang didapati di sekolah merupakan proses dan aktiviti yang
bertujuan untuk membawa perubahan kepada seseorang individu. Menurut Dewey,
pendidikan harus berpusatkan kepada pelajar sebagai individu untuk melengkapkan
dirinya dengan ciri-ciri insan yang sempurna pada keseluruhannya. Oleh itu,
sekolah bukan merupakan institusi setakat untuk menyediakan individu itu bagi
sesuatu latihan dan memperolehi pekerjaan tetapi membuat persediaan untuk
mereka membangunkan masyarakat
2.0 Isu Guru
atau Keguruan
Guru Ponteng
Sebulan Boleh Diberhenti Kerja
Mungkin setiap guru yang tidak hadir ke sekolah ada
alasan yang tersendiri. Sakit? Ada masalah keluarga? Berjauhan dari keluarga?
Masalah kewangan? Stress? 1001 alasan.. tetapi kadangkala suara dan kebajikan
guru kurang diberi perhatian oleh pihak pengurusan. Inilah kesannya.. Apabila
sudah ada laporan rasmi, maka tindakan yang sewajarnya perlu diambil.
MARILAH SAMA-SAMA KITA MENJAGA PROFESION KEGURUAN INI...
"Guru Cemerlang, Negara Terbilang"...
MARILAH SAMA-SAMA KITA MENJAGA PROFESION KEGURUAN INI...
"Guru Cemerlang, Negara Terbilang"...
2.1 Definisi dan Jenis Ponteng
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai
kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Manakala
ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang
surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran
bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri
ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas
apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan apabila seseorang pekerja itu tidak
datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir.
Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah,
ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.Oleh itu, guru ponteng bermaksud
guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama
ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugassampingan seperti hadir
mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Faktor utama yang menyebabkan
berlakunya masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri.
Ponteng
boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas
dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada
murid dan sekolah.
a. Ponteng
sekolah
Ponteng sekolah bermaksud
guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengansebab yang tidak
munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan
dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering
diguna oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng
sekolah dengan pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti
sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik.
b. Ponteng
kelas
Ponteng kelas pula bermaksud
guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas dengan
sengaja atau keluar lebih awal sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat
tanpa alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin
sekolah, berbual atau bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dansebagainya. Guru bermasalah
ini menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan lebih penting berbanding mengajar di
dalam bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang amat besar kepada
pencapaian murid dalam akademik.
c. Ponteng
tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak
melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya guru
tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah, tidak menghadirikan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum
dijalankan, tidak menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan
yang munasabah dan kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis
ini menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah
akan terbantut.
2.2 Faktor Berlakunya Ponteng
Dalam
mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru, terdapat beberapa faktor yang
dikenal pasti yang memungkinkan guru-guru mengambil jalan mudah untuk ponteng.
Hal ini merangkumi aspek dalaman dan luaran yang mana masing-masing memberi
impak kepada pembangunan sahsiah seorang guru.
2.2.1 Faktor
Dalaman
2.2.1.1
Kurangannya Pegangan Agama
Guru tidak menghayati apa
yang diajarkan dalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya
berkerja dengan ikhlas, amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu
ibadah dan ramai di antara guru yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh,
tidak amanah. Walaupun ramai di antaranya yang berpuasa dan menunaikan solat
tetapi perbuatan seperti ponteng tetap berlaku dalam pekerjaan (Pahrol Mohamad
Juoi,2010). Guru menganggap ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait
dengan pahala dan dosa. Walhal guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu
sumber yang halal untuk dinikmati oleh anak-anak dan ahli keluarga.
2.2.1.2
Kurang motivasi dari dalaman
guru.
Guru terbeban dengan hal-hal
persekitaran yana mungkin menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa kurang
motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan,
depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang
guru itu akan mendapat kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada
matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur komitmen dalaman (Pendidik,
September 2010).
2.2.1.3
Gangguan emosi.
Emosi yang tidak stabil akan
menyebabkan kemurungan. Kemurungan yang melampau boleh memberi kesan negatif
dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh
badan dan pemikiran. Selain itu juga kemurungan boleh menyebabkan seseorang
bertindak mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat (Pendidik,
April2010). Gangguan emosi ini terhasil apabila guru-guru tidak mencapai
keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap keputusan
markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah berulang kali keputusan
yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan merasa
kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerjaguru yang lain. Penambahan
masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas,dan ponteng kerja.
2.2.1.4
Sifat yang tidak ikhlas
Ikhlas selalunya dikaitkan
dengan bersedekah, jarang-jarang sekali ikhlas dikaitkan dengankerja atau
profesion, jika ada ianya hanya disebut sepintas lalu. Ini adalah satu
persoalan yang penting kerana apabila kerja dianggap sebagai satu ibadah, maka
inti pati atau terasnya mestilah sifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang
membuahkan nilai-nilai yang lain.Ikhlaslah melahirkan integriti, produktiviti
dan kualiti juga lain-lain nilai murni dalam pekerjaan. Ikhlas adalah pemantau
dalaman yang menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus dan benar sebelum,
semasa dan selepas sesuatu pekerjaan dilakukan (Pahrol Mohamad Juoi,2010). Jika
seseorang guru tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh
perhatian terhadap pekerjaan utama di sekolah dan yang paling penting kepada proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
2.2.2 Faktor
Luaran
2.2.2.1
Tekanan beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe,
(1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak
selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang
berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang
menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap
perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi
perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat.
Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu
mengajar,menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa
melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan
emosi dan kehendak dalaman mereka. Seorang guru di Sarawak juga menyuarakan
tentang suasana kerjanya di salah sebuah sekolah membuktikan bahawa dalam era
pemodenan pendidikan ini masih terdapat suasana tidak selesa pada tempat kerja
guru. Apa yang digambarkan adalah, isu kepadatan guru dalam bilik guru, masalah
kongsi meja dan penyediaan perabut yang tidak sesuai sertamen cukupi. (Berita
Harian, 19 Julai 2005). Hal ini menyebabkan guru bertindak ponteng daripada
membebankan emosi dan perasaan mereka dengan tekanan.
2.2.2.2
Murid yang tidak menghormati
guru
Dalam era modenisasi kini,
murid kurang menghargai dan menghormati perasaaan guru. Sambutan Hari Guru
saban tahun semakin hambar dan tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid.
Tiada lagi ucapan penghargaan kepada guru yang diterima oleh murid. Mereka leka
dengan aktiviti persekitaran tanpa menghargai perasaan guru yang selama ini
mencurahkan khidmat bakti menjadikan mereka modal insan yang akan menentukan
corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Murid tidak lagi menjadikan guru
sebagai role model mereka tetapi lebih memilih artis-artis barat dan tempatan
sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat mendidik anak bangsa seringkali
dikejutkan dengan tindakan murid yang di luar jangkaan seperti memancitkan dan
menconteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah
yang diarahkan, tidak mematuhi arahan dan melanggar disiplin
2.2.2.3
Kurang galakan dan
pemantauan dari pentadbir
Faktor ini juga amat penting
dalam menjadikan pekerjaan guru sebagai satu profesion yang berjaya. Pentadbir
yang perihatin selalu mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan
bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada
mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu
tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir juga perlu mengambil tindakan serta
merta kepada guru yang sering ponteng. Ini kerana ditakuti gejala ini akan
diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya Guru
Besar tidak mengambil tindakan kepada guruyang melakukan kesalahan.
2.2.2.4
Jarak sekolah dan keadaan
persekitaraan
Keadaan ini biasanya merujuk
kepada di mana guru itu mengajar. Bagi guru yang mengajar di luar bandar, dan
di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya
lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal dari
masayang ditetapkan untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan
perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini telah disahkan apabila Pengarah Jabatan
Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin berkata, perkara itu
dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke
sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain pula halnya apabila guru
tersebut mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar pada sesi
persekolahanuntuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan
keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan anak-anak, keperluan
peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan berjalan. Guru akan keluar
apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat dan tidak ada kelas dalam
jadual. Namun guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai
ponteng kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan
berjalan demi untuk memenuhi keperluan peribadi.
2.2.2.5
Pengaruh rakan-rakan sejawat
Pengaruh rakan sejawat dan
rakan sekeliling juga mempengaruhi isu ponteng guru. Ini kerana guru baru
contohnya akan mudah terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas, membuat
kerja sambil lewa dan sering ponteng. Besar kemungkinan ponteng telah menjadi
kebiasaan kepada guru-guru di sekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut
terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah negatif guru
lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu
ponteng ini dengan tegas.
2.2.2.6
Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah
merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah ponteng dalam kalangan
guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan
tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia
mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka
amat lemah,manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila
seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mereka akan lebih
mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain, contohnya kewangan, ponteng kerja,
masalah keluarga, tindakan undang-undang dan sebagainya.
2.3 Langkah Mengatasi Masalah
Ponteng
Pelbagai
langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah
ponteng ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain.
Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu
guru yang sering ponteng. Ini bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru
mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan
merekadi sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada
guru-guru ini bagimengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi
diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari.
Langkah perbincangan ini bersesuaian dengan teori kepimpinan humanistik di mana
guru tersebut diberikan ruang kebebasan untuk menceritakan masalah sebenar yang
berlaku dan punca masalah ini berlaku. Di samping pihak pentadbir juga boleh
mendekatkan diri lagi kepada guru yang bermasalah ponteng kerja ini supaya
hubungan lebih akrab dan harmonis di mana persetujuan dan pemuafakatan lebih
mudah dicapai oleh kedua- dua pihak.
Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap
berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran
bagi memberi amaran kepada guru tersebut. Surat tunjuk sebab ini menunjukkan
bahawa pihak pentadbir amat memandang
berat akan isu ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan
kembali bertugas setelah mendapat surat tersebut. Namun demikin jika perkara
ini masih berlanjutan, pihak pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk
guru bermasalahtersebut kepada lembaga tatatertib selaras dengan Peraturan
25(1) yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan
Tatatertib) 1993 Bahagian III.
Selain
itu, fenomena ponteng dalam kalangan guru juga boleh diatasi dengan cara
aplikasi teori kepimpinan transformasi. Pemimpin transformasi adalah seorang
yang suka melakukan perubahan dan pembaharuan. Ini jelas melalui visi dan misi
yang dibentuknya. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin, mereka harus mempunyai
tanggungjawab untuk menjelaskan visi dan misi sehingga difahami, diterima dan
dihayati oleh semua pengikutnya. Seorang pemimpin transformasi juga adalah
seorang yang mempunyai kasih sayang dan dapat memahami subordinatnya. Beliau
mesti sentiasa peka dengan kehendak dan keperluan mereka yang sentiasa berubah.
Oleh itu, pentadbir bijak mengendalikan keperluan persekitarannya iaitu budaya
sekolah agar semua mereka yang terlibat di bawah organisasinya berasa puas dan
selamat serta mendorong melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.
Pemimpin transformasi juga adalah orang yang sanggup menerima pandangan orang
lain jika pandangan tersebut boleh mendatangkan manfaat kepada semua ahli dalam
organisasi. Dengan cara ini, masalah ini yang berfaktor dalaman guru seperti
kurang motivasi dan gangguan emosi boleh diatasi dengan jayanya.
Setiap
individu mempunyai keperluan, kehendak, harapan dan impian masing-masing. Walaubagaimanapun,
seringkali pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pengalaman, konflik
dan situasi yang dialami. Oleh sebab itu, segelintir guru yang mempunyai
masalah, mereka mengambil jalan mudah untuk melarikan diri mereka dari masalah.
Sebagai pentadbir, bersesuaian dengan teori kepimpinan behavioristik, pentadbir
perlulah wujudkan persekitaran di sekolah yang lebih mesra, harmoni, toleransi,
menyayangi antara satu sama lain (sebagai rakan sejawat). Dengan cara ini
mereka yang bermasalah akan selesa hadir ke sekolah kerana di sekolah masih ada
lagi rakan yang menghargai mereka seterusnya mereka boleh menceritakan dan
meluahkan masalah yang masih menjadi igauan dalam diri dan tidak akan
menjadikan alasan bahawa ponteng kerja merupakan jalan penyelesaiannya. Kebebasan merancang dan mencorakkan kerja
mengikut acuan sendiri menjadi idaman setiap individu. Namun begitu dalam
pengurusan sesebuah sekolah kebebasan memilih kadang-kadang tidak dapat
dipraktikkan. Contohnya, pihak sekolah dibebani dengan pelbagai program
daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) yang perlu dilaksanakan secara serentak. Guru pula sebagai pelaksana
dibebani dengan pelbagai jawatan sampingan selain daripada mengajar di dalam
bilik kelas.Pihak pentadbir biasanya akan memilih guru yang bertanggungjawab
untuk melaksanakan sesuatu program dan mencapai objektif yang disasarkan.
Bebanan ini akan lebih dirasai olehguru-guru sekolah yang kekurangan guru. Oleh
kerana itu, sebagai pentadbir mestilah memberikan peluang dan pilihan untuk
guru- guru membuat kebebasan dengan tugasan yang diberikan tetapi mestilah
tidak melanggar etika keguruan dan peraturan sekolah. Ini mengurangkan lagi
stress dan tekanan kerja guru serta permasalahan ponteng kerja boleh dibendung.
Selain itu, sebagai pentadbir mestilah mengadakan latihan dalam perkhidmatan
bagi memantapkan lagi sahsiah dan hasil kerja guru tersebut. Tambahan pula, di
dalam latihan ini terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan lagi kredibiliti
seorang guru yang syumul. Pentadbir perlu mewajibkan kesemua guru di sekolah
menghadirinya bagi kepentingan sekolah dan diri guru tersebut. Bersesuaian
dengan perubahan tingkah laku guru dari kurang baik kepada lebih baik dan
seterusnya mengaplikasikan falsafah pendidikan kebangsaan dengan jayanya.
3.0 Rumusan
Dapatlah
dirumuskan bahawa, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika profesion
perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi semua pihak sama ada murid,
sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan yang tegas dan pantas
daripada pihak pentadbir akan dapat menyelesaikan masalah ini. Namun sering
kali pihak pentadbir terlewat mengambil tindakan yang menyebabkan masalah
ponteng ini berlarutan. Oleh yang demikian perlu ada pemantauan yang berterusan
daripada pentadbir dan pihak jabatan untuk memastikan masalah ponteng di kalangan
guru dapat dibendung
4.0 Refleksi
Setelah
selesai tugasan dilakukan, saya merasakan bahawa tugasan ini mampu menjadi satu
penyelesaian masalah kepada
sebarang perkara yang timbul dalam isu guru. Apabila berlakunya sesuatu
masalah, maka sebagai guru kita haruslah mempunyai satu cara untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Ini termasuklah isu yang dipilih iaitu isu guru
ponteng. Apa yang penting ialah bagaimana pentadbir mampu untuk menyelesaikan
masalah ponteng dalam kalangan guru. Selain itu, dalam hal kehidupan seharian
kita sebagai seorang guru juga, ianya mampu menjadi satu panduan dan petunjuk
supaya setiap masalah itu pastu ada cara untuk menyelesaikannya.
Sepanjang menyelesaikan tugasan ini juga, ianya memberi
cabaran kerana terlalu banyak tekanan kerja yang dialami. Namun begitu, ianya
adalah sebagai salah satu permulaan dalam kehidupan yang mana lebih mencabar
untuk masa akan datang. Setiap kerja yang dilakukan pasti ada cabaran yang
datang. Begitu juga halnya dengan diri sebagai seorang guru iaitu cabaran dari
segi fizikal dan mental pasti menjelma. Tetapi, di sebalik rintangan dan
cabaran yang direntasi pasti ada kejayaannya. Kejaayaan tidak akan datang bergolek
dan tidak akan datang mengikut perancangan.
Selain itu, pelbagai kemahiran baharu yang diperoleh
sepanjang menyiapkan tugasan ini. Ini termasuklah kemahiran dari segi
pengurusan dan etika untuk menjadi seorang guru kelak. Walaupun kemahiran ini
belum diaplikasikan dalam kehidupan sebagai guru, namun pengetahuan yang
diperoleh ini akan digunakan apabila mula bergelar guru kelak. Ini sekaligus
akan menjadikan saya sebagai seorang guru yang mempunyai akauntabiliti yang
tinggi dan mampu bertindak profesionalisme. Apa yang penting ialah, bagaimana
sesuatu pengetahuan itu diselarikan dengan kemahiran supaya dapat menjadi
seorang guru yang beretika tinggi.
Tugasan ini dapat dikaitkan dengan rancangan masa hadapan
saya dengan cara bagaimana sekiranya masalah seperti isu ini atau isu-isu lain
melanda dan dialami oleh saya apabila bergelar guru kelak. Oleh itu, saya perlu
mengekalkan kredibiliti saya sebagai seorang guru supaya saya dapat menjadi
seorang guru yang tidak mempunyai sebarang masalah disiplin apatah lagi
melanggar etika profesion keguruan ini. Saya seharusnya mempersiapkan diri
dengan segala cabaran yang akan datang supaya mampu menjadi guru yang bagus.
ANIS FARAHIN BINTI ABD AZIZ