Saturday, 1 September 2012

GURU PUKUL MURID SEHINGGA MATI


1.0        1.0PENGENALAN

Sistem pendidikan merupakan salah satu elemen utama negara bagi mencapai taraf negara maju dan membangun sejajar dan selaras dengan Wawasan 2020.  Semua pihak memainkan peranan yang sangat penting bagi meningkatkan sistem pendidikan di negara ini terutamanya para guru. Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh . (Syed Ismail Bin syed Mustapa. Ahmad Subki Bin Miskon: Julai 2010: m.s; 5 ).
Guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya egen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya.

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu semata-mata. Berbanding sistem pendidikan pada masa kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru harus lebih inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai “knowledge worker” dalam era revolusi maklumat abad ke-21

Pendapat Liberman, 1956, profesion merujuk kepada suatu pekerjaan yang melaksanakan fungsi soSial yang penting. Untuk mencapai fungsi tersebut, tahap kemahiran tertentu dan suatu pengalaman pengetahuan sistematik berasaskan teori yang dipegang oleh seseorang individu diperlukan. Suatu profesion ialah suatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat, menikmati autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan. ( Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-3 )
Menurut Kamus Dewan ( 2005 ), ‘ profesion’ ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas. Aspek keguruan dianggap sebagai satu profesion apabila guru memperoleh pengetahuan atau kemahiran melalui latihan dalam suatu tempoh masa yang panjang, meningkatkan profesionalisme, komited kepada klien dan mempunyai kuasa autonomi dalam membuat keputusan. (Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-4). Profesion keguruan merupakan salah satu bidang pekerjaan yang disanjung tinggi dan merupakan bidang pekerjaan yang dipandang mulia oleh masyarakat. Guru adalah merupakan seorang insan yang sentiasa diperhatikan oleh seluruh ahli masyarakat. Setiap tingkah laku, gerak geri dan aktiviti yang dilakukan akan dinilai oleh semua orang, terutamanya anak didik di sekolah masing-masing
Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, malahan tingkah laku dan amalan baik mereka akan sentiasa menjadi ikutan dan rujukan oleh semua pihak. Oleh itu, profesion keguruan mempunyai kod etika yang perlu dipatuhi oleh setiap guru bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan, merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak
Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seringkali mendapat liputan menyeluruh dan senantiasa dilaporkan melalui media cetak atau media elektronik. Paparan isu ini sering kali dijadikan isu yang hangat dan menjadi topik perbualan serta perbincangan oleh lapisan masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di serata dunia secara khususnya. Pelbagai masalah yang melibatkan etika perguruan sering dilaporkan melibatkan kes tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seperti kes rasuah, gangguan seksual, dera dan sebagainya
Sebagai contohnya isu penderaan iaitu guru memukul murid hingga menyebabkan kematian yang dilaporkan oleh Berita Harian yang bertarikh 31 Mac 2012 telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan di segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu guru memukul muridnya sehingga menyebabkan kematian ini, menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan yang telah ditetapkan dengan melakukan penderaan fizikal ke atas muridnya. Isu berkaitan dengan penderaan guru terhadap muridnya merupakan isu yang semakin berleluasa dari hari ke hari. Persoalannya mengapa isu ini berlaku
Kejadian penderaan fizikal yang dilakukan oleh guru yang semakin berleluasa ini merupakan kejadian yang bukan berlaku di tempat kerja mahupun di tempat awam tetapi ianya berlaku di institusi sekolah yang dianggap sebagai tempat yang paling selamat oleh semua pihak. Kejadian penderaan ini semakin menular di sekolah di mana mangsanya ialah murid-murid yang dikategorikan sebagai kanak-kanak atau golongan yang lemah jika dibandingkan dengan guru. Penderaan fizikal yang dilakukan oleh para guru ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid di bawah jagaan mereka. Seringkali kita dengar bahawa terdapat tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tidak kira guru itu muda atau tua. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.



2.0         ANALISIS DAN ULASAN ARTIKEL ISU MURID DIPUKUL HINGGA MATI
Artikel yang dipilih ialah berkaitan dengan kes seorang guru sekolah agama memukul muridnya yang berusia 7 tahun sehingga menyebabkan kematian. Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah agama di Arau, Perlis ini, merupakan tragedi yang mengecewakan. Lebih-lebih lagi suspek adalah merupakan tenaga pengajar sekolah agama berkenaan. Mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee dikatakan dipukul dan dibelasah oleh gurunya yang berusia 26 tahun atas sebab kesalahan mencuri RM7. Murid tersebut dipukul selama 2 jam menyebabkannya pengsan akibat daripada kecederaan  di kepala dan tubuh badan kesan daripada pukulan yang bertubi-tubi oleh guru berkenaan.
Kes yang berlaku ini mendapat liputan meluas oleh media-massa kerana kes ini melibatkan suspek yang menyandang jawatan sebagai seorang guru iaitu satu pekerjaan atau profesion yang sangat dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling. Merujuk sumber Berita Harian (2012), Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut adalah jenayah serius yang tidak boleh dimaafkan. Beliau juga berkata, walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid. Hal ini adalah bertentangan dengan akauntabiliti keguruan terhadap murid. Setiap guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain.
Isu berkaitan guru memukul muridnya sehingga menyebabkan kematian ini merupakan kes yang boleh dikategorikan sebagai kes penderaan kanak-kanak. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “ Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apa lagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak,” (sumber: Berita Harian, 2012).
3.0         DEFINISI PENDERAAN

Merujuk sumber Wikipedia Bahasa Melayu (2012), Penderaan kanak-kanak bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dera bermaksud pukulan, mendera, seksa, denda dan hukuman. Manakala  penderaan pula merujuk kepada  perbuatan mendera terhadap kanak-kanak.
Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of Education (1970) telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan sengaja oleh orang yang berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke atas sesorang yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Oleh itu, dalam konteks isu yang dibincangkan ini, guru tersebut telah melakukan penderaan terhadap muridnya sebagai hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan bagi membentuk disiplin murid tersebut. Namun begitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa setiap sekolah termasuklah sekolah agama rakyat perlu mempunyai kaedah standard dalam menguruskan soal disiplin pelajar.
Penderaan berlaku kerana si pendera adalah lebih kuat dan bertenaga secara fizikal serta lebih berkuasa secara mental dan psikologi daripada yang didera. Murid yang menjadi mangsa terhadap penderaan yang dilakukan oleh guru sekolah agama tersebut adalah dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana umurnya belum menjangkau 18 tahun dan ke atas. Penderaan terhadap kanak-kanak dibahagikan kepada empat jenis penderaan yang utama, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan kerana mereka diabaikan penjagaan dan penderaan emosi (Malaysia 1991).

4.0         JENIS-JENIS PENDERAAN
4.1       Penderaan Fizikal
Pakar perubatan mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk (Silverman 1968 dan Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak dan patah tulang (O’Neil et al. 1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson 1974). Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara dan alat yang digunakan untuk mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya.
4.1         Penderaan Seksual
Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

4.2         Penderaan  Pengabaian Penjagaan
Penderaan kerana diabaikan penjagaan didefinisikan secara rumusan daripada Akta Perlindungan Kanak-kanak sebagai kegagalan ibu bapa untuk memenuhi keperluan asas anak seperti  pemberian makanan, pakaian, kediaman, rawatan perubatan, tidak memberi penyeliaan atau pengawalan anak daripada terlibatnya dengan kumpulan jahat atau bahaya moral dan tidak melindungi mereka daripada bahaya sehingga kanak-kanak terpaksa menjaga diri sendiri dan menjadi pengemis. Pengabaian kanak-kanak merujuk pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman & Hersen, 1990:28).
4.3         Penderaan Emosi
Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga atau individu yang paling hampir dengan kanak-kanak tersebut. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat sebagai sedih, marah, meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O’ Hagan, 1993:22). Penderaan emosi merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak.

            Oleh itu, ternyatalah di sini bahawa kes penderaan yang dibincangkan ini adalah jenis penderaan fizikal. Terdapat kesan-kesan melecet pada tangan akibat diikat seperti yang dilaporkan dan ini menyebabkan mangsa koma selepas dipukul oleh guru berkenaan.

5.0         FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA PENDERAAN
5.1       Tekanan Bebanan Kerja
Menurut Kamus Dewan (1999), tekanan membawa maksud sesuatu desakan atau paksaan yang diterima oleh seseorang. Manakala Kamus Oxford Advanced Learner’s (1983) mendefinisikan tekanan atau dalam Bahasa Inggerisnya stress sebagai pressure; condition causing hardship, disquiet. Seyle (1964) adalah orang yan pertama menggunakan terma ‘tekanan’ mendefinisikannya sebagai satu set fizikal dan psikologikal yang bertindak balas kepada keadaan dan pengaruh yang sebaliknya. Manakala Kamus Behavioral Science medefinisikan tekanan sebagai satu keadaan fizikal atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi.
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat.
Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman mereka. Oleh itu, kadangkala mereka akan bertindak diluar jangkaan semata-mata untuk memuaskan kehendak dalaman mereka yang selama ini tidak dapat dipenuhi berikutan bebanan kerja yang terlalu banyak.

5.2       Kurang Memahami Etika Perguruan
Selain itu, punca berlakunya kes penderaan yang melibatkan guru ini adalah disebabkan guru tersebut kurang memahami etika keguruan yang telah digariskan. Guru yang memahami etika keguruan tidak akan tergamak untuk melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri. Hal ini berbeza pula dengan kes yang telah berlaku kepada guru tersebut kerana telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan ini. Hal ini sedikit sebanyak telah memberikan gambaran bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami kandungan yang telah termaktub di dalam kod etika guru.
Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan bagi pembentukan tatasusila guru. Etika perguruan ini akan menjadi satu panduan kepada guru dalam melaksanakan tugasan harian sebagai guru. Berdasarkan kod etika perguruan yang telah ditetapkan, sepatutnya setiap ahli profesion iaitu guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan serta perkara yang tidak boleh dilakukan sebagai seorang guru. Tetapi, apa yang berlaku di dalam kes ini adalah sebaliknya.

5.3       Tiada Kesedaran Agama
Tiada kesedaran agama juga boleh membawa kepada gejala penderaan guru terhadap anak muridnya sepertimana yang berlaku terhadap guru tersebut. Guru tidak menghayati apa yang diajarkandalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan ramai di antara guru yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh dan tidak amanah.
Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Oleh itu hal ini akan menyebabkan berlakunya kes penderaan seperti yang telah dilakukan oleh guru tersebut terhadap anak muridnya. Walaupun kes yang dibincangkan ini melibatkan guru sekolah agama, namun di sini jelas menunjukkan perbuatan guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikirkan secara logiknya, mana mungkin kes seperti ini akan berlaku kepada seorang guru sekolah agama yang telah kita sedia maklum mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

5.4       Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu punca berlakunya kes penderaan di sekolah yang melibatkan guru dan murid. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah mereka akan mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain.
Kesan penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan perubahan sikap individu tersebut. Mereka akan mudah menjadi panas baran oleh sebab kitaran darah dalam badan mereka bergerak dengan cepat. Maka, tidak hairanlah sekiranya dikatakan guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan mudah melakukan penderaan terhadap anak muridnya.

6.0       IMPLIKASI KES PENDERAAN FIZIKAL
Sekiranya masalah penderaan fizikal yang melibatkan guru dan murid sekolah ini tidak dibendung dengan baik, mungkin masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan dan akibat daripada perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada guru tersebut sahaja, namun kesannya akan turut dirasai oleh mangsa penderaan itu sendiri, guru-guru lain, sekolah, masyarakat dan sebagainya.

            6.1       Terhadap Guru
Masalah yang berlaku ini akan menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin renggang di mana semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam situasi ini, murid akan berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu, hubungan guru dengan rakan sejawatannya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan perbuatan mendera anak muridnya. Akibatnya, guru tersebut akan mengalami tekanan emosi dan konflik jiwa yang serius. Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi contohnya masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga.

            6.2       Terhadap Murid
Murid-murid yang didera akan mengalami kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh badan dan kesan penderaan ini dapat dilihat oleh penglihatan. Malah ia juga akan menyebabkan pertumbuhan murid-murid yang didera ini terjejas. Malah, kesan penderaan terhadap murid juga boleh menyebabkan kematian seperti kes yang dibincangkan ini. Malah, guru yang bersikap suka mendera dan memukul ini akan memberi kesan atau mempengaruhi murid-murid lain untuk melakukan perbuatan yang sama kepada rakan-rakan mereka yang lemah kerana guru merupakan ‘role-model’ kepada murid-murid. Menurut Mahathir (1999), guru-guru dituntut agar mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh murid dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu. Sahsiah yang dipamerkan oleh guru ini akan menjadi panduan dan diteladani oleh murid-murid di sekolah. Maka, hal ini akan sekaligus menjejaskan sistem pendidikan yang terdapat di negara kita.

            6.3       Terhadap Profesion Perguruan
Isu penderaan ini hanya dilakukan oleh segelintir guru sahaja, tetapi seperti kata pepatah “ Kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.  Kesan daripada tingkah laku segelintir guru ini akan merosak dan mencemarkan imej profesion perguruan.  Tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru akan menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh lapisan masyarakat. Masyarakat lebih cenderung melihat dan menilai sesuatu yang negatif berbanding perkara yang positif. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.
Selain itu, gejala penderaan yang berlaku ini juga memberi kesan kepada profesion perguruan yang menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini akan mengakibatkan profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Kesannya kerajaan tidak dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.
            6.4       Terhadap Sekolah
Apabila isu penderaan ini memberi kesan kepada guru dan murid, secara tidak langsung isu ini juga akan memberi kesan kepada sekolah. Dengan berlakunya kes-kes penderaan ini, reputasi dan imej sekolah akan jatuh. Sekolah adalah sebagai sebuah organisasi formal yang mempunyai matlamat tertentu. Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), sekolah adalah satu masyarakat kecil yang mempunyai budaya tersendiri.
Sekiranya budaya penderaan diamalkan di sesebuah sekolah dan tidak dibendung dengan kadar segera, masyarakat tidak lagi mengganggap sekolah sebagai sebuah institusi yang selamat untuk mereka menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah tersebut. Hal ini juga akan menyebabkan sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan berkualiti kepada murid-murid.

            6.5       Terhadap Ibu Bapa dan Masyarakat
            Isu penderaan yang berlaku ini turut memberi kesan kepada ibu bapa dan masyarakat. Hubungan yang terjalin di antara guru dan ibu bapa akan menjadi renggang disebabkan ibu bapa tidak lagi mempercayai kredibiliti guru-guru tersebut untuk mendidik anak-anak mereka. Kebajikan dan keselamatan yang seharusnya dititikberatkan oleh guru akhirnya terancam disebabkan oleh guru sendiri. Hal ini akan merisaukan pihak ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Kesannya ada di antara ibu bapa yang membawa isu penderaan ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapatkan keadilan bagi pihak anak mereka. Di samping itu juga, masyarakat akan turut memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah kerana tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.

7.0       CADANGAN / LANGKAH MENGATASI ISU PENDERAAN
Penderaan fizikal yang berlaku kepada murid ini merupakan salah satu isu yang sangat dipandang serius oleh lapisan masyarakat. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan guru menghukum murid di atas kesalahan atau kenakalan yang dilakukan oleh murid itu sendiri. Namun begitu, penderaan bukanlah langkah yang terbaik untuk menghukum seseorang murid yang melakukan kesalahan. Tingkah laku negatif seperti mendera yang dilakukan oleh guru tersebut hendaklah dibendung dengan kadar segera. Menurut Lewis M. Beaker (2001), tingkah laku adalah sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar.
7.1       Tingkatkan Kesedaran Agama Dalam Diri
Antara langkah untuk mengatasi isu tersebut ialah dengan meningkatkan kesedaran agama. Setiap guru hendaklah mendalami ilmu agama supaya setiap tingkah laku yang dilakukan adalah berlandaskan kepada pegangan agama. Dengan mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan sedar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas. Menurut INTAN (1994), ikhlas merupakan salah satu etika yang perlu diamalkan dalam pekerjaan. Ini bermaksud setiap penjawat awam hati yang bersih, jujur dan suci. Jika seseorang itu ikhlas dalam kerjanya, ia akan menjalankan tugas tersebut dengan sempurna dan menghasilkan output yang memuaskan secara berterusan.

7.2       Wujudkan Khidmat Kaunseling Khas Untuk Guru
Selain itu, di setiap sekolah hendaklah diwujudkan khidmat bimbingan dan kaunseling yang dikhaskan untuk guru bagi menangani isu penderaan fizikal terhadap murid di mana khidmat ini dikendalikan oleh individu yang pakar dalam masalah ini. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar kaunseling jika mereka terlibat atau mengalami masalah gangguan emosi yang boleh mengakibatkan mereka bertindak di luar kawalan. Menurut Shertzer dan Stone (1981) menyatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.

            7.3       Penguatkuasaan Undang-undang
            Penguatkuasaan undang-undang adalah merupakan langkah yang patut diambil oleh kerajaan bagi mengatasi isu berkaitan dengan penderaan. Merujuk kepada rencana yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 1 April 2001, Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa undang-undang adalah peraturan hidup yang berkata-kata. Undang-undang berkata-kata melalui bahasanya yang tersendiri iaitu bahasa undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman dan sebagainya perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Mana-mana guru yang terlibat dengan tindakan undang-undang boleh dilucutkan jawatannya sebagai seorang guru. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru lain supaya tidak melakukan perkara yang sama berkaitan isu penderaan ini.

7.4       Melantik Guru yang Berkelayakan
            Kerajaan hendaklah melantik guru-guru yang berkelayakan untuk menjawat profesion sebagai seorang pendidik. Hal ini disebabkan, guru yang berkelayakan telah diberi latihan yang secukupnya untuk menjadi seorang guru. Program-program dan kursus-kursus yang telah dijalani oleh individu ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami etika keguruan yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia contohnya seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).

8.0       RUMUSAN
            Pandangan saya berkaitan dengan isu guru agama memukul anak muridnya sehingga menyebabkan kematian ini adalah tidak wajar berlaku. Hal ini kerana tugas guru adalah sebagai seorang pendidik dan pembimbing dan bukan sebagai pengancam keselamatan murid-murid. Persoalan yang timbul ialah adakah perlu seorang guru membelasah muridnya sedemikian rupa? Lebih-lebih lagi mangsa hanya berumur 7 tahun. Tidak sepadan langsung dengan suspek yang berumur 26 tahun. Sekiranya memang benar bahawa murid tersebut melakukan kesalahan mencuri, tindakan membelasah murid berkenaan secara melulu bukanlah jalan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
            Terdapat pelbagai cara yang lebih efektif dan berkesan yang boleh digunakan. Guru tersebut tidak boleh bertindak tanpa alasan dan bukti yang kukuh. Tambahan pula sekiranya dakwaan yang mengatakan bahawa murid tersebut mencuri adalah daripada percakapan murid-murid yang lain. Dalam erti kata yang lain ialah hanya syak. Tindakan memukul dan membelasah murid tersebut bagi saya adalah sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Lebih-lebih lagi bagi seorang guru yang mempunyai pendidikan agama. Mencabut nyawa seseorang dengan tangan sendiri hanya kerana syak dan wasangka, adalah tindakan yang paling dangkal sekali yang dibuat oleh seorang manusia lebih-lebih lagi digelar seorang guru.
            Menurut Abu Bakar Nordin (2003), peribadi dan sahsiah seorang guru akan menentukan kedudukannya di mata masyarakat. Oleh itu, guru harus memiliki sifat profesionalisme yang tinggi. Sebagai seorang pendidik, guru perlu menjadi contoh dan teladan kepada para murid dalam pelakuan sehariannya supaya pendidik menjadi masyarakat yang dihormati dan disegani. Etika dan tatasusila profesion perguruan yang menjadi pegangan harus sentiasa difahami, dihayati dan diamalkan. Dengan mengamalkan etika keguruan yang telah digariskan, isu berkaitan dengan penderaan seperti yang dibincangkan akan dapat dibendung dan diatasi dengan berkesan.

9.0       REFLEKSI
            Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini. Pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan sering dibincangkan melalui media massa. Berdasarkan tugasan projek yang telah diberikan ini, pelbagai manfaat telah saya perolehi. Dengan menjalankan tugasan projek ini, saya dapat meningkatkan kefahaman tentang ruang lingkup kerjaya sebagai seorang guru pada masa hadapan. Isu-isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan merupakan topik yang sering mendapat liputan menyeluruh oleh semua pihak. Hal ini dapat memberi pendedahan kepada saya untuk lebih matang dalam menempuhi isu-isu yang bakal berlaku apabila menjadi seorang guru pada masa hadapan.
            Tugasan projek ini juga mengkehendaki saya menganalisis, mengulas dan mengutarakan pendapat berkaitan isu yang berkait dengan guru dan keguruan. Hal ini sekaligus akan dapat mempengaruhi tindakan saya pada masa hadapan sekiranya menghadapi masalah yang berkaitan. Sekiranya saya berada di dalam mana-mana situasi yang melibatkan isu guru dan keguruan seperti yang berlaku pada masa kini, saya hendaklah bertindak secara matang. Tindakan yang saya ambil hendaklah berlandaskan kepada profesionalisme sebagai seorang guru tanpa mengikut hawa nafsu semata-mata.
Malah, dengan adanya tugasan projek ini, saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam menangani setiap masalah yang berlaku. Hal ini disebabkan, bertindak tanpa berfikir akan mendatangkan kesan yang negatif kepada individu itu sendiri. Jadi, setiap masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan sekiranya saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian. Tambahan pula, saya dapat mempelajari kemahiran baharu dengan adanya penerapan unsur ICT semasa menjalankan tugasan projek ini. Tugasan ini memerlukan saya membina sebuah blog laman ilmu secara berkumpulan. Hal ini memberi pengetahuan kepada saya tentang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Kemahiran ini juga dapat digunakan pada masa hadapan kerana sistem pendidikan pada masa kini amat mementingkan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan.  

NURUL FAZLIANA BINTI ISMAIL

2 comments: